MEXICO CITY - MEXICO. Seorang wanita mendakwa dirogol oleh 30 lelaki sehari selepas diperdaya oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Karla Jacinto, 23 berkata, 43,200 kali adalah anggaran kasar beliau dirogol dalam tempoh empat tahun.

Laporan CNN mengatakan zaman gelap Karla bermula ketika beliau berusia 12 tahun.

Menurut Karla, beliau berkenalan dengan seorang lelaki berumur 22 tahun dan mula berkongsi nombor telefon.

Mereka kemudian 'bercinta' dan pada satu hari, Karla mengikut lelaki tersebut untuk hidup bersama.

"Saya tinggal bersamanya selama tiga bulan. Beliau melayan saya dengan baik. Semuanya sangat indah," kata Karla.

Tidak lama kemudian, Karla diperkenalkan kepada 'bapa ayam' sebelum teman lelakinya menghilangkan diri.

Karla kemudian dipaksa bekerja sebagai pelacur di Guadalajara, salah sebuah bandar tersbesar di Mexico.

Ketika berusia 15 tahun, Karla melahirkan seorang bayi perempuan.

Bayi tersebut diambil oleh bapa ayam sebagai cagaran jika Karla melarikan diri.

Karla akhirnya diselamatkan semasa operasi anti-pemerdagangan manusia pada 2008 ketika berusia 16 tahun.

Beliau kini menjadi aktivis yang lantang bersuara menentang aktiviti pemerdagangan manusia.

Karla berkata, sifat masyarakat yang 'tidak berbuat apa-apa' akan menyebabkan ramai lagi kanak-kanak diculik dan dirogol beribu-ribu kali.

"Kanak-kanak yang masih kecil diculik, diumpan dan dirampas dari keluarga mereka.

"Jangan dengar cakap saya sahaja. Anda perlu tahu apa yang terjadi pada saya dan mula membuka mata," tegas Karla. Sinar Harian